Blog & Tips

6 Tips Penjagaan Gigi Susu Anak Sejak Bayi Oleh Doktor Gigi

Perkembangan fizikal bayi dan kanak-kanak bukan sahaja dilihat pada saiz tubuh badan dan kemampuan mereka melakukan pelbagai aktiviti setiap hari, malah ianya turut melibatkan pertumbuhan gigi susu dan kemudiannya berganti dengan gigi kekal.

Dalam kesibukan menjalani kehidupan seharian, tidak mustahil kita sebagai ibu bapa boleh terlepas pandang perihal penjagaan gigi susu anak-anak. Malah mungkin, ada ibu bapa yang langsung tidak cakna dengan penjagaan gigi susu anak kerana beranggapan bahawa ianya bukan gigi kekal dan akan tercabut juga suatu hari nanti.

Walau bagaimanapun, penjagaan gigi susu anak adalah sangat penting kerana gigi susu juga berpotensi untuk mengalami masalah jika tidak dijaga dengan sebaik-baiknya.

Ikuti perkongsian doktor gigi ini iaitu Dr. Naqiuddin Bin Mohd Moin, atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Q, tentang tips penjagaan gigi susu anak seawal usia bayi melalui laman Facebook beliau.

Semoga ianya bermanfaat dan dapat dipraktikkan oleh kita semua buat anak-anak tercinta.

6 TIPS PENJAGAAN GIGI SUSU ANAK SEJAK BAYI

Kita semua pasti pernah melihat kanak-kanak seawal usia 2 ke 3 tahun mempunyai gigi seperti dua gambar di bawah ini, bukan?

Tahukah anda bahawa kenyataan tentang gigi kanak-kanak adalah rapuh dan mudah rosak adalah mitos semata-mata?

Pada hakikatnya, jika ibu bapa mengikut kesemua tips-tips penjagaaan gigi susu yang betul, Dr. Q berani beri jaminan bahawa gigi susu itu boleh kekal sihat dan tidak rosak, sehingga sampai waktu gigi susu itu tertanggal sendiri.

Berikut merupakan 6 tips daripada Dr. Q untuk kekalkan gigi susu anak sehingga tiba waktu yang memang betul-betul gigi susu itu akan bergoyang sendiri dan seterusnya boleh dicabut dengan mudah.

TIPS 1 : BERSIHKAN BAHAGIAN DALAM MULUT BAYI

Seawal usia bayi, jadikan kebiasaan untuk membersihkan mulut bayi iaitu gusi, bahagian dalam pipi serta lidah bayi dengan kain bersih yang lembut dan lembab. Lakukan selepas bayi menyusu dan sebelum waktu tidur.

Rutin ini bertujuan untuk membiasakan bayi bahawa akan terdapat sesuatu benda masuk ke dalam mulutnya semasa proses membersihkan mulutnya itu.

Pada awalnya, ibu bapa mungkin akan berasa kasihan dengan bayi kerana semasa proses ini dilakukan, bayi akan berasa tidak selesa dan menangis. Ianya adalah perkara normal, dan ibu bapa tetap perlu melakukannya kerana ia bukan bertujuan untuk menyiksa bayi  tetapi sekadar membersihkan mulut sahaja. Tambahan pula, ia bukan dilakukan dengan menggosok bahagian dalam mulut mereka secara kasar tetapi dengan gerakan lemah-lembut dalam tempoh beberapa saat sahaja.

TIPS 2 : BERUS GIGI BAYI SEBAIK SAHAJA GIGI SUSU MULA TUMBUH

Sebaik sahaja gigi susu bayi mula tumbuh, ibu bapa sudah boleh mula memberus gigi bayi walaupun pada ketika itu bayi hanya mempunyai sebatang gigi sahaja.

Pada pendapat Dr. Q, pada peringkat permulaan, ibu bapa boleh menggunakan berus gigi jenis sarung pada jari agar lebih mudah untuk ibu atau bapa menggosok gigi anak.

Seterusnya, apabila sudah mahir memberus gigi anak dengan menggunakan berus gigi kanak-kanak yang sesuai, ajarkan anak untuk memberus gigi mereka sendiri. Pastikan semua permukaan gigi diberus.

Jangan biarkan anak memberus gigi mereka sendiri tanpa seliaan ibu bapa. Ibu bapa perlu menyelia mereka di mana selepas selesai memberus gigi, ibu bapa perlu memeriksa gigi anak-anak. Pastikan gigi mereka bersih dan tiada lagi plak atau tahi gigi yang berwarna putih dan kuning melekat di permukaan gigi terutamanya di kawasan leher gigi (kawasan yang berdekatan dengan gusi).

TIPS 3 : GUNA UBAT GIGI APABILA ANAK SUDAH BOLEH MELUDAH

Untuk penggunaan ubat gigi, Dr. Q sarankan, hanya gunakan ubat gigi jika kanak-kanak sudah pandai meludah.

Atau jika mahu guna ubat gigi juga, tips yang Dr. Q perolehi daripada American Dental Association, untuk usia di bawah 3 tahun, saiz ubat gigi adalah umpama sebutir beras manakala usia atas 3 tahun adalah sebesar kacang pea (rujuk gambar di bawah).

Sekiranya anak belum tahu meludah, pastikan mereka tidak menelan ubat gigi tersebut kerana pada usia mereka sekarang, gigi kekal mereka sedang membentuk. Jika banyak ubat gigi yang ditelan, kelak akan terdapat tompok-tompok putih yang dipanggil ‘flourosis’ pada gigi kekal mereka.

TIPS 4 : LAP SISA SUSU PADA GIGI ANAK

Tabiat anak minum susu dengan menggunakan botol susu adalah salah satu punca kepada kerosakan gigi susu. Lebih membimbangkan, apabila mereka minum susu dengan menggunakan botol susu sehingga tertidur dan gigi susu tidak dibersihkan. Tempoh sisa susu yang yang terlalu lama melekat pada gigi susu anak akan menyebabkan gigi susu cepat rosak terutamanya pada gigi depan bahagian atas.

Jika anak tertidur semasa minum susu dengan menggunakan botol susu, angkat bibir anak dan lap sisa susu pada gigi mereka. Sekurang-kurangnya cara ini dapat mengurangkan kuantiti sisa susu yang terlekat pada gigi dan mengurangkan kadar kerosakan gigi.

Secara beransur-ansur, ajar anak minum susu dengan menggunakan cawan kanak-kanak yang bermuncung di bahagian hadapan  dan seterusnya beralih kepada cawan biasa bagi mengurangkan serta menghentikan tabiat minum susu dengan menggunakan botol susu.

TIPS 5 : JANGAN BIASAKAN BAYI HISAP JARI SEMASA TIDUR

Jika bayi mempunyai tabiat menghisap jari semasa tidur, biasakan untuk mencegah bayi daripada melakukan tabiat itu dengan cara mengeluarkan jari bayi semasa bayi sedang tidur secara perlahan-lahan. Jika bayi masih meneruskan tabiat itu sehingga mencecah usia kanak-kanak, gigi susu dan gigi kekal hadapan akan jongang dan terbuka.

Konsep ini juga sama untuk puting tiruan. Tetapi, kini terdapat puting tiruan jenis nipis yang dikatakan tidak akan menyebabkan masalah jongang atau gigitan terbuka. Perkara ini akan dikupas selepas Dr. Q memperoleh fakta yang sahih.

TIPS 6 : JUMPA DOKTOR GIGI APABILA GIGI BAYI MULA TUMBUH

Apabila bayi mula tumbuh gigi yang pertama, bawa bayi berjumpa dengan doktor gigi di klinik gigi. Walaupun baru satu sahaja gigi yang tumbuh, ibu bapa sebenarnya perlu mula membawa mereka ke klinik gigi bagi membiasakan mereka untuk berjumpa dengan doktor gigi dan persekitaran klinik gigi.

Pastikan ibu bapa membawa anak ke klinik gigi setiap 6 bulan untuk membuat pemeriksaan gigi secara berkala dan membolehkan doktor gigi ‘monitor’pertumbuhan gigi anak.

Dr. Q menerima banyak respon bahawa terdapat yang ramai antara kita berasa takut untuk berjumpa doktor gigi kerana trauma semasa kecil. Kanak-kanak yang tidak dibiasakan ke klinik gigi sejak bayi serta terpaksa berjumpa doktor gigi apabila mempunyai masalah dan rawatan terpaksa dilakukan, kanak-kanak yang kecil ini mudah untuk trauma. Lebih-lebih lagi apabila giginya terpaksa dicabut.

Oleh itu, untuk mengelakkan situasi yang sama daripada berlaku pada anak-anak generasi masa kini, biasakan anak ke klinik gigi untuk berjumpa doktor gigi sejak bayi.

PRAKTIKKAN SEMUA TIPS AGAR GIGI SUSU ANAK KEKAL SIHAT

Tidak dinafikan bahawa ibu bapa memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk memberikan segala yang terbaik dalam proses mendidik dan membesarkan anak-anak. Dalam apa jua keadaan, semoga kita semua menjadi ibu bapa yang prihatin dengan perihal anak-anak secara menyeluruh termasuk tentang penjagaan gigi susu mereka.

Dengan mempraktikkan kesemua 6 tips yang dikongsikan ini, Dr. Q memberi jaminan 100 peratus bahawa gigi anak-anak akan sentiasa sihat, dan gigi susu mereka boleh kekal sehingga ia goyang serta tercabut sendiri kelak.